9w2lud Base Station.

Radio amatur. Antara hobi dan bakti.

Radio Amatur atau juga dikenali sebagai Ham Radio merupakan satu cara berkomunikasi tanpa wayar dengan menggunakan isyarat radio yang efektif selain dari menggunakan telefon bimbit dan Internet. Jutaan pengguna dari segenap pelusuk dunia memilih Radio Amatur sebagai satu hobi. Di Malaysia, pengendali hobi ini tertakluk di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Seseorang yang ingin mengendalikan Radio Amatur perlu menduduki Peperiksaan Radio Amateur Examination (RAE) yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Umur minima bagi menduduki peperiksaan ini ialah 14 tahun sepertimana yang telah ditetapkan oleh suruhanjaya, organisasi yang bertanggungjawab terhadap pengeluaran lesen dan isu-isu berkaitan dengannya. Dalam hubungan ini, sopan santun adalah kunci utama kepada pengendalian yang sempurna..

Radio amatur bukan sekadar alat komunikasi sesama ahli atau dengan pengguna lain, tetapi turut membantu ketika kecemasan seperti tanah runtuh, sesat di dalam hutan, banjir kilat atau nahas di darat, udara mahu pun air, apabila komunikasi sedia ada tidak dapat digunakan atau tiada perkhidmatan komunikasi di kawasan tersebut. Jika berlaku kecemasan atau bencana alam yang menyebabkan komunikasi sediada tidak boleh digunakan, perkhidmatan radio amatur amat diperlukan. Jika sebelum ini peralatan komunikasi seperti telefon bimbit digunakan untuk berhubung, radio amatur memudahkan proses itu, khususnya di kawasan yang tiada talian komunikasi dan juga bekalan elektrik, kerana radio amatur boleh berfungsi melalui tenaga bateri atau generator.

Penulis mula meminati bidang radio amatur semasa masih menuntut di kolej. Selalu juga membaca majalah-majalah berkenaan elektronik seperti Practical Wireless dan Electronic Today. Di dalam majalah tersebut ada diiklankan tempat-tempat kursus dan cara bagaimana hendak menjadi seorang ahli radio amatur. Di negara kita tidak terdapat tempat yang memberi tunjuk-ajar dan cara bagaimana untuk menjadi seorang ahli radio amatur. Radio amatur pada masa itu dikategorikan sebagai kelab atau grup yang eksklusif. Hanya mereka dikalangan bertaraf tinggi sahaja yang layak memiliki lesen radio amatur seperti hakim, doktor, peguam dan pengurus estet. Hanya selepas era perang dingin antara Amerika Syarikat dan Soviet Union, barulah radio amatur mula berkembang dikalangan rakyat biasa.

Penulis hanya mendapat lesen radio amatur dengan tanda panggilan 9W2LUD kira-kira 5 tahun lepas itupun setelah pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia ditubuhkan. Itupun setelah penulis berkecimpung dalam komunikasi perhubungan radio dengan menganggotai an Rejimen Semboyan 13 Skuadron (PSTD). Minat yang mendalam dalam alat komunikasi radio, menyebabkan penulis sanggup memakai pakaian askar demi mempelajari bidang komunikasi radio.

Buat masa ini, penulis bersama rakan-rakan radio amatur telah mula bergerak ke hadapan dengan harapan untuk memberikan bantuan dalam komunikasi radio kepada yang memerlukan sebagai satu sumbangan bakti untuk masyarakat. Dengan tertubuhnya Seremban Communication and Rescue (SerembanCORE), maka tercapailah hajat keseluruhan para ahli radio amatur di negara ini.

Ramai yang bertanya, apakah itu Seremban Communication and Rescue (SerembanCORE)?. Sebutannya adalah 'Seremban Ko'. SerembanCORE adalah salah satu unit pencari dan penyelamat yang turut bergabung dibawah unit CORE Ibu Pejabat Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM), WP K.Lumpur. Anggotanya adalah terdiri dari sukarelawan VAD (Volunteer Aid Detachment) yang mempunyai kad keahlian BSMM. Anggota SerembanCORE juga adalah merupakan ahli radio amatur dan kepada ahli yang belum mendapat ASAA dari MCMC akan menduduki kelas RAE. Ini adalah bagi memastikan setiap anggota SerembanCORE mempunyai tanda panggilan amatur.

Kenapa ahli radio amatur sahaja digalakkan menyertai unit CORE atau SerembanCORE?. Dalam aktiviti mencari dan menyelamat, perkara ini semua sudah diketahui umum. Apabila berlaku sesuatu kecemasan atau bencana alam, ramai ahli radio amatur ingin turut serta dalam operasi tersebut. Ini adalah selaras dengan perkara (c) dan (i) dalam garis panduan yang dikeluarkan oleh MCMC. Masalahnya adalah apabila ahli radio amatur tidak dibenarkan masuk ke kawasan kejadian untuk turut bersama membantu. Sebenarnya, ini kerana tidak memahami dasar dan peraturan. Di negara kita, apabila berlaku sebarang kejadian bencana atau kecemasan, semua tanggungjawab adalah di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN). MKN membuat peraturan dan bidang kuasa pihak yang terlibat dalam operasi. Contohnya: MKN 20 adalah merupakan peraturan yang dibuat apabila berlaku sebarang bencana alam atau kecemasan dan pihak yang bertanggungjawab semasa operasi mencari dan menyelamat (SAR). Di sinilah kenapa konvoi ahli radio amatur berhenti di pintu pagar operasi dan tidak dapat menyertai operasi tersebut, lalu berkumpul beramai-ramai dan setakat melaporkan melalui jaluran frekuensi aktiviti yang sedang berlaku seperti juruhebah radio tanpa gaji.....

Kenapa bergabung dengan BSMM? Umum telah mengetahui, BSMM adalah sebuah badan dan terletak di bawah Akta Parlimen. BSMM bukan sebuah persatuan atau NGO. Di sini apa yang kami nampak, BSMM boleh dijadikan tempat untuk ahli radio amatur turut bergabung bersama-sama dalam operasi SAR. Melalui pengalaman SerembanCORE dalam operasi mencari dan menyelamat pegawai TLDM yang hilang di Gunung Brinchang, Cameron Highland, Pahang, kami dapat merasakan betapa kami sebagai ahli radio amatur dapat bergabung di bawah satu bendera iaitu BSMM. Kami dapat mencurahkan khidmat bakti kami dalam operasi tersebut. Kami amat dialu-alukan dan bersama-sama berada di bilik operasi (DCC). Kami tidak perlu melaung meminta supaya dasar MKN20 digubal semula dan memasukkan radio amatur sebagai sebuah pasukan dalam senarai tersebut.

Malah penulis juga berbangga apabila pihak Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mula memberikan pandangan positif mengenai radio amatur. Penulis telah dijemput sebagai penceramah mengenai radio amatur di Politeknik Port Dickson. Malah beberapa pelajar tahun akhir telah dipilih oleh pihak politeknik membuat projek akhir pengajian mengenai radio amatur dibawah bimbingan penulis.

Teringat penulis kepada kata-kata seorang rakan amatur dari Jepun.... "Radio amateur is for everybody. I mean from the grass root to the top level without limitation of using it" Majulah radio amatur untuk kemajuan negara kita.

No comments: